ANTARA syabu dan heroin yang dirampas daripada dua lelaki dalam satu serbuan.
Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my


TALI gantung menanti dua sahabat apabila mereka ditahan atas kesalahan memiliki dadah jenis syabu dan heroin di sebuah hotel di sini, kelmarin.

Lelaki berusia 25 dan 23 tahun itu ditahan dalam sebuah bilik di hotel berkenaan hasil serbuan dilakukan jam 1 pagi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, serbuan dilakukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis susulan laporan mengenai aktiviti mencurigakan di bilik berkenaan.

Katanya, pemeriksaan fizikal dijalankan terhadap suspek itu tidak menemui barang terlarang, namun hasil pemeriksaan lanjut kemudian membawa kepada penemuan sembilan paket ketulan putih disyaki syabu dan dua paket disyaki heroin.

“Dadah itu ditemui dalam beg galas yang berada di atas meja dalam bilik terbabit. Kami turut menemui wang tunai berjumlah RM550, alat penimbang dan plastik paket pelbagai saiz.

“Suspek berusia 25 tahun yang disoal siasat kemudiannya mengaku dadah itu milik mereka,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Azli berkata, dadah dirampas jenis syabu seberat 19.80 gram dan dianggarkan bernilai RM2,400, manakala heroin pula seberat 55.42 gram dengan nilai anggaran RM1,650.

“Ujian saringan air kencing dijalankan mendapati kedua-duanya positif dadah dan seorang daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 6:20 AM