MAZLAN (kiri) bersama Normah yang menghidap sakit buah pinggang dan Ayob yang menghidap kanser paru-paru.
Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my


KEHIDUPAN sebuah keluarga ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila suami yang diharap menjaga isteri menghidap penyakit buah pinggang kronik, disahkan menghidap kanser paru-paru.

Terdahulu, Normah Nordin, 60, mengalami masalah pada kedua-dua buah pinggang sejak dua tahun lalu namun kini suaminya, Ayob Mustam, 66, disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat sejak setahun lalu.

Normah berkata, dia menghidap masalah buah pinggang sejak dua tahun lalu dan perlu dicuci tiga kali seminggu.

“Dulu, suami yang menjaga dan membawa saya setiap kali perlu ke hospital atau pusat rawatan hemodialisis untuk mencuci buah pinggang tetapi sekarang, saya pula yang perlu menjaga suami apabila dia lebih kritikal selepas disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat sejak setahun lalu.

“Ketika ini, kami dibantu anak sulung, Mazlan Muhamad, 38, yang tinggal bersama. Dia yang menjaga dan membawa kami setiap kali mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan Brotherhood Port Dickson di rumahnya di Rumah Rakyat Pekan Lukut di sini, kelmarin.

Normah berkata, anak sulung daripada dua beradik yang juga bapa tunggal itu hanya bekerja di sebuah pasar raya dengan gaji RM1,300 sebulan dan perlu menanggung seorang anak perempuan, Airis Nur Damia, 6.

“Suami pula bekas pekerja di Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan menerima pencen sebanyak RM900 sebulan, tetapi jumlah itu tidak mencukupi bagi menanggung kos perubatan kami berdua.

“Nasib baik Mazlan ada bersama kami yang banyak berkorban masa dan wang bagi memastikan kami dapat dibawa ke Hospital Putrajaya dua kali setiap bulan. Mazlan perlu mengambil cuti setiap kali kami ada temujanji,” katanya yang sudah 13 tahun berumahtangga dengan Ayob.

Wanita itu berkata, awal tahun ini mereka menerima bantuan daripada Baitulmal sebanyak RM1,500.

Sementara itu, Pengerusi Brotherhood Port Dickson Mohd Amin Harun berkata, pihaknya akan cuba membantu dan berusaha mendapatkan bantuan bulanan bagi keluarga terbabit.

“Selain masalah kewangan, mereka juga memerlukan kerusi roda, katil khas dan tilam. Buat masa ini, saya difahamkan mereka tidak menerima sebarang bantuan kewangan secara bulanan.

“NGO (badan bukan kerajaan) kami baru saja ditubuhkan dan buat permulaan kami hanya menggunakan dana yang dikumpul dalam kalangan ahli untuk diagihkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu meringankan beban keluarga terbabit boleh terus menyumbang ke akaun Bank Muamalat Malaysia Berhad 05010042349728 (Ayob Mustam).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 6:10 AM