FEZUL dan Nur Atiqah bersama empat anak mereka yang menghidap sakit asma yang teruk. FOTO/DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


BUKAN sengaja melengahkan pendaftaran kelahiran anak bongsu mereka namun kesempitan hidup memaksa suami isteri dari Kampung Lat Seribu, Simpang Empat bertindak sedemikian.

Mohd Fezul Saad dan isterinya Nur Atiqah Mohd Othman masing-masing berusia 31 tahun terpaksa mendahulukan wang untuk urusan lebih penting berbanding urusan lain atas faktor kekangan kewangan.

Bayi lelaki mereka, Qhaleef As Sufi yang kini berusia sembilan bulan belum mempunyai MyKid dan kini pasangan itu bimbang bakal dikenakan tindakan undang-undang.

Nur Atiqah berkata, sebagai isteri yang tidak bekerja dia hanya mampu berdoa urusan mereka sekeluarga dipermudahkan setiap hari.

“Saya hanya mengharapkan pendapatan suami yang bekerja kampung bagi menampung segala perbelanjaan rumah di samping menjaga tiga anak saudara yang ditinggalkan ibu bapa mereka selepas berpisah.

“Selepas saya melahirkan anak bongsu, boleh dikatakan kami sekeluarga berada di fasa yang paling tidak stabil,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Menurut Nur Atiqah, meskipun menerima bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), ia didahulukan untuk keperluan susu dan lampin tiga lagi anaknya yang berusia dua hingga empat tahun.

Lebih memburukkan keadaan, semua anaknya disahkan menghidap penyakit asma yang teruk sehingga memerlukan rawatan berterusan.

“Kami terpaksa merawat Qhaleef yang menghidap asma dengan perubatan tradisional memandangkan dia tiada pengenalan diri untuk dibawa ke hospital,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, Mohammad Hazam Ismail dalam lawatannya ke rumah pasangan berkenaan berkata, pihaknya akan memberikan bantuan RM400 serta tambahan RM200 dari Majlis Agama Islam Perlis bermula Ogos ini.

“JKM juga akan memperuntukkan sejumlah bantuan bagi membaiki rumah yang uzur dan melihat secara serius isu ini bagi membantu menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi mereka sekeluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 6:00 AM