DR MAHATHIR. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memulakan siasatan insiden penyalahgunaan nama Perdana Menteri oleh pihak tidak bertanggungjawab menerusi e-mel dan laman web bagi meraih sokongan peribadi dan mempromosi perniagaan Bitcoin.

SKMM dalam kenyataan memaklumkan siasatan itu akan dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia bagi mengenal pasti dalang dan sumber yang mengeluarkan e-mel itu.

“SKMM mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan taktik penipuan yang dilakukan pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.

Menurut SKMM, kewujudan dan penghantaran sebarang komen, permintaan, cadangan atau komunikasi palsu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya.

Justeru, orang ramai turut diminta tampil membuat aduan sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung isu itu bagi membolehkan tindakan susulan diambil SKMM.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada 22 Julai memaklumkan terdapat dua insiden oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan nama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi e-mel dan laman web bagi meraih sokongan peribadi dan mempromosi perniagaan Bitcoin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 12:53 AM