SUASANA pada upacara pengebumian jenazah pasangan itu. FOTO Siraj Mohd Zaini dan Sairien Nafis
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


JENAZAH suami isteri, Muhammad Hamadi Zakaria, 31 dan Nur Syuhadah Zaini, 31, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, malam tadi.

Kedua-dua mereka dikebumikan bersebelahan di antara satu sama lain, kira-kira 11 malam.

Kira-kira 100 orang termasuk ahli keluarga, saudara mara serta kenalan kedua-dua pasangan berkenaan menghadiri upacara pengebumian itu.

Lebih menyayat hati, kedua-dua cahaya mata pasangan itu, Hana Safiyyah, 6 dan Hana Safina, turut hadir mengiringi jenazah kedua-dua insan tersayang mereka ke tanah perkuburan.

Anak kecil itu dipangku datuk serta ahli keluarga lain dan reaksi wajah mereka seolah-oleh mengerti bahawa tiada lagi tempat mengadu serta bermanja.

Terdahulu, kedua-dua jenazah tiba di Surau Madrasah Seksyen 11, Shah Alam, kira-kira 9 malam tadi untuk disembahyangkan selepas selesai proses bedah siasat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi semalam, Muhammad Hamadi dan Nur Syuhadah meninggal dunia selepas parah dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan.

Pasangan suami isteri itu dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja.

kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda CBR 500 dinaiki mereka tidak sempat mengelak dua motosikal yang bergesel di hadapannya sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan.

Kedua-dua pasangan itu juga sudah merancang dengan mengambil cuti untuk menghantar ibu-bapa mereka ke Kompleks Tabung Haji kerana dijadual berangkat untuk mengerjakan haji keesokan hari.

Berita berkaitan

Sebak hajat anak, menantu tak kesampaian

Suami isteri maut rempuh motosikal bergesel

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 12:22 AM