WAN Sani (kiri) melihat Pok Pie menenun songket di Penjara Marang, Marang. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


“SAYA pun tak sangka mampu membuat songket itu, maklumlah sebelum ini hanya pandai memegang cangkul dan membuat kerja di kebun sahaja,” kata Pok Pie, 70, (bukan nama sebenar) ketika ditemui di Penjara Marang, Marang.

Pok Pie yang berasal dari Dungun sedang menjalani hukuman penjara selama 30 tahun selepas mengaku bersalah merogol anak kandungnya pada September 2009.

Katanya, dia menerima tawaran menjalani latihan menenun songket disediakan pihak penjara kerana ingin memanfaatkan masa dengan aktiviti berfaedah.

“Tidak pernah terlintas mahu menceburi bidang tenunan yang lebih sinonim dengan wanita, tetapi saya mula meminati bidang ini selepas tiga bulan mempelajarinya.

“Lebih membanggakan apabila songket bernilai ribuan ringgit itu dibeli dan digunakan orang kenamaan.

“Bagaimanapun, bukan mudah untuk menguasai teknik menenun songket kerana ia memerlukan penelitian sepenuhnya terutama ketika menyiapkan corak bermotifkan seri bunga itu,” katanya yang mengambil masa selama setahun untuk menguasai sepenuhnya teknik menenun songket.

Mengimbas kembali kesalahan dilakukannya, Pok Pie berkata, dia menyesali perbuatannya bukan kerana terpaksa meringkuk di penjara, tetapi tindakannya itu memusnahkan masa depan anaknya.

“Sehingga kini, saya tertanya-tanya bagaimana sanggup memperlakukan anak sendiri seperti itu dan kesalahan itu menghantui saya sehingga sekarang.

“Saya sudah bertaubat dan anak sudah memaafkan saya serta berkahwin dengan lelaki pilihannya,” katanya yang akan dibebaskan pada 2029 ketika berusia 80 tahun.

Rakannya, Pok Ya,51, (bukan nama sebenar) dari Setiu berkata, dia mula menenun songket sejak 2006 dan hanya mengambil masa selama tiga bulan untuk menguasai kemahiran itu.

“Sehingga kini, lebih 100 songket bernilai antara RM300 hingga RM5,000 berjaya dihasilkan dan sebagai penenun paling lama, saya bangga kerana songket dihasilkan kami sudah terjual di seluruh negeri termasuk dipamerkan di pameran peringkat antarabangsa.

“Kami hanya penghuni penjara, tetapi hasil kerja kami diiktiraf dan ia satu penghormatan buat kami,” katanya yang menjalani hukuman penjara selama 40 tahun dan 20 sebatan kerana kesalahan merogol pada 2004.

Sementara itu, Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff berkata, seramai 125 penenun songket terdiri daripada penghuni yang menjalani hukuman penjara melebihi dua tahun dan ke atas.

Beliau berkata, mereka bukan sahaja diajar ilmu agama, tetapi turut dibekalkan dengan ilmu kemahiran bagi memastikan mampu berdikari apabila dibebaskan kelak.

“Sekurang-kurangnya mereka mempunyai kemahiran untuk bekerja atau boleh menenun songket apabila dibebaskan, sekali gus mampu mengelak mereka daripada terjebak dengan jenayah.

“Penenun songket dilahirkan di sini bertaraf profesional, jadi tidak hairan ramai pengusaha songket tempatan sudah menyatakan hasrat dan menawarkan pekerjaan kepada mereka apabila dibebaskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 10:18 PM