Shamsul Kamal Amarudin
shaka@nstp.com.my


JABATAN Mufti Negeri Perak menegaskan daging hasil penyembelihan dalam ibadat korban di negeri itu tidak harus diberikan kepada orang bukan Islam.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, ia kerana ibadat korban adalah perkara ‘ta’abbudiy’ (hal ehwal ibadat) yang dihukumkan sebagai sunat muakkadah (sunat yang sangat dituntut).

“(Fatwa ini dikeluarkan) selepas mengambil kira pandangan yang mashyur (popular) dalam mazhab Syafie, pandangan ulama semasa, maslahah umum serta keperluan semasa dalam negeri ini,” katanya dalam kenyataan di Ipoh hari ini.

Harussani berkata, kenyataan itu dikeluarkan berikutan isu pemberian daging korban kepada bukan Islam hangat dibahaskan di media terutama media sosial sejak akhir-akhir ini.

Beliau berkata, dalam perbahasan itu, penggunaan nas dan dalil malahan fakta sokongan seperti keterangan ulama terdahulu serta kontemporari serta maslahah semasa menjadi sandaran bagi menguatkan hujah masing-masing.

“Adalah ditegaskan bahawa amalan mengorbankan binatang ternakan dan perkara yang berkaitan dengannya (ketika sambutan Aidiladha) adalah ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah.

“Amalan warisan Nabi Ibrahim ini mempunyai hikmah yang sarat dengan kebaikan dunia dan akhirat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 9:50 PM