FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


DUDA didenda RM2,800 di Mahkamah Rendah Syariah Marang, hari ini, selepas ditahan berkhalwat dengan janda anak lima yang baru dikenalinya, dua minggu.

Selain itu, tertuduh berusia 25 tahun dan bekerja sebagai pembantu kantin turut berdepan hukuman penjara enam bulan, sekiranya gagal menjelaskan denda.

Keputusan itu dibuat Hakim Syarie Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Dia didakwa Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu berkhalwat.

Sebelum ini, pasangannya yang berusia 36 tahun diarahkan ditahan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, Selangor selama enam bulan di mahkamah sama pada 16 Julai lalu.

Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu.

Mengikut fakta kes, serbuan berwaran dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa syariah daerah di sebuah chalet di Marang, 4.30 pagi pada 4 Mac lalu.

Sebaik tiba di hadapan bilik, pintu utamanya tertutup rapat dan berkunci sebelum anggota mengetuk serta memberi salam beberapa kali.

Tertuduh lelaki membuka pintu dari dalam dan anggota memperkenalkan diri lalu membuat pemeriksaan.

Pemeriksaan menemui tertuduh wanita sedang bersembunyi di dalam bilik air dan soal siasat mengesahkan mereka bukan suami isteri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 6:45 PM