FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


SEORANG bapa tiga anak menangis teresak-esak selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini atas pertuduhan merompak berkumpulan seorang buruh di Kota Damansara pada 11 Julai lalu.

Tertuduh terbabit, Supiyan Alias, 31, didakwa bersama rakannya, Mohd Naswadi Jamaluddin, 34, namun kedua-duanya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Azwanida Affandi.

Terdahulu, Supiyan yang berada di dalam kandang tertuduh dilihat tenang, bagaimanapun mula menangis selepas melihat isterinya yang sedang hamil anak keempat dan anaknya masuk ke dalam bilik mahkamah.

Suasana mahkamah bertukar emosi apabila isteri tertuduh turut menangis ketika memohon supaya suaminya dibenarkan jaminan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan rompak berkumpulan kepada seorang lelaki dengan merampas wang tunai berjumlah RM250 dan seunit telefon bimbit.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta kawasan rumah pangsa berdekatan pasar raya di Kota Damansara, Petaling Jaya pada 4.30 petang 11 Julai lalu.

Pertuduhan ke atas mereka dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mary Poon Khiat Mee tidak menawarkan sebarang jaminan.

Peguam A Suayri yang mewakili Supiyan kemudian merayu agar mahkamah memberikan jaminan RM3,000 atas alasan isteri anak guamnya sedang hamil selain baru saja bekerja sebagai penghantar barangan segar.

Hakim Azwarnida kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan syarat perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah menetapkan kes itu disebut semula 14 Ogos depan bagi serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 4:50 PM