NURUL Amirah yang gagal hadir ketika pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu dicari polis. FOTO Ihsan Polis
Zatul Iffah Zokiply
zatuliffah@hmetro.com.my


POLIS sedang mengesan seorang wanita yang terbabit dalam kes pelacuran selepas gagal hadir ketika pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, 4 Februari lalu.

Nurul Amirah Sanan, 19, dikehendaki hadir di mahkamah bagi kes yang disiasat mengikut Seksyen 372 (1)(f) Kanun Keseksaan kerana menyalahgunakan mana-mana orang bagi tujuan persundalan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos berkata, wanita terbabit sepatutnya hadir ke mahkamah pada 4 Februari lalu untuk pertuduhan selepas dibebaskan dengan jaminan polis sebelum ini.

“Bagaimanapun, dia gagal berbuat demikian dan juga gagal dikesan sehingga hari ini berdasarkan alamatnya di Taman Seri Asahan, Melaka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ramzi berkata, wanita terbabit diminta segera tampil untuk mendengar pertuduhan yang ditetapkan mahkamah pada 17 dan 18 September depan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu atau balai berhampiran, selain boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ridhuan Rosli di talian 09-6322222 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 4:43 PM