Senapang angin yang dirampas daripada seorang lelaki dalam serbuan polis di rumahnya di Bandar Seri Jempol. Foto Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my


TINDAKAN seorang lelaki berusia 40 tahun menyimpan selaras senapang angin membawa padah apabila ditahan polis di rumahnya dekat Bandar Seri Jempol, 2.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, suspek didapati menyimpan senapang angin jenama Tippman X7 Phenom di dalam beg yang diletakkan di sebelah peti sejuk di rumahnya.

Menurutnya, polis yang mendapat maklumat daripada orang awam bertindak menyerbu kediaman suspek di sebuah kawasan perumahan.

“Pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai lesen atau permit untuk memiliki senjata api.

“Siasatan juga mendapati suspek membeli senjata berkenaan dari rakannya dengan harga RM400,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, polis turut merampas 30 butir bebola besi dipercayai peluru senapang berkenaan, satu tong gas warna kuning, satu hos tekanan serta satu pencuci laras.

Katanya, semakan juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah membabitkan dadah selain turut didapati positif methaphetamine dalam ujian saringan awal air kencing ketika ditahan.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 ,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 4:35 PM