Syafiqah (kiri) dilaporkan hilang bersama rakannya Siti Nurbaiyah sejak Jumaat lalu. Foto Ihsan Pembaca
Nur Lela Zulkipli
nurlela@hmetro.com.my


“TOLONG balik kakak. Ibu risau ada benda buruk berlaku nanti. Baliklah, ibu dan ayah tak marah,” luah Siti Rahmah Md Mokthar, 42, yang merayu anak gadisnya Syafiqah Adawiyah Jumri, 15, yang hilang bersama rakan sekolahnya, Siti Nurbaiyah Sidek, 15, sejak Jumaat lalu.

Menurut Siti Rahmah, pada hari kehilangan anak keduanya itu, Syafiqah pulang ke rumah dari sekolah seperti biasa pada 2 petang bersama Siti Nurbaiyah.

“Syafiqah dan Nurbaiyah memang sering pulang dari sekolah berdua dan saya juga tidak mengesyaki apa-apa.

“Namun, saya ternampak Syafiqah dan Nurbaiyah keluar rumah dengan beg sekolah yang dipenuhi baju Nurbaiyah pada hari jumaat itu.

“Saya juga fikir itu perkara biasa kerana Nurbaiyah sering bermalam di rumah kami. Selepas anak memaklumkan ingin menghantar Nurbaiyah pulang ke rumahnya, saya juga masih tidak mengesyaki apa-apa,” katanya kepada Harian Metro di Taman Desa Parit Mahang, Kuala Selangor, hari ini.

Siti Rahmah memaklumkan, anaknya pulang ke rumah kira-kira 3 petang selepas menghantar Nurbaiyah tetapi dia tidak sedar bila Syafiqah keluar semula dengan beg pakaian kerana sibuk di dapur.

“Apabila saya nampak Syafiqah pulang daripada menghantar Nurbaiyah, saya teruskan kerja di dapur.

“Apabila suami pulang kerja kira-kira 4 petang, baru saya sedar anak sudah hilang kerana banyak baju miliknya dibawa bersama.

“Ini kali pertama Syafiqah hilang seperti ini. Selama ini dia tidak pernah meluahkan perasaan marah atau tidak puas hati kepada keluarga,” katanya.

Menurutnya, sehari selepas mereka hilang ada rakan sekolah Syafiqah yang dikenali sebagai Aidil memberitahu anak saya dan Nurbaiyah berada di Klang Sentral untuk menaiki bas ke Melaka.

“Ada rakan anak yang memaklumkan mereka berdua beli tiket ke Melaka pada Sabtu jam 8.30 pagi tetapi selepas saya periksa semua bas yang ke Melaka pada Sabtu pagi tiada nama anak saya.

“Saya sangat bimbang kerana ada juga yang memberitahu mereka berdua dibawa lari oleh seorang wanita tidak dikenali,” katanya.

Harian Metro turut menghubungi ibu Nurbaiyah, Haslina Hassim, 47, yang buntu di mana ingin mencari anaknya kerana tidak menunjukkan sebarang perubahan atau petanda sebelum itu.

“Nurbaiyah tiada minta wang saku lebih jika benar dia mahu lari rumah. Saya tahu dia tidak mempunyai wang yang cukup untuk pergi jauh.

“Saya betul-betul buntu di mana lagi perlu cari Nurbaiyah. Saya hanya mahu dia pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Md Asri A Wahab berkata, pihaknya ada menerima laporan berkaitan kehilangan dua remaja berkenaan pada Ahad lalu.

“Pihak polis kini dalam proses mengumpul seberapa banyak maklumat berhubung kehilangan dua remaja ini dan siasatan lanjut sedang berjalan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kedua-dua remaja ini diharap tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 2:53 PM