Balai Polis Tronoh dicadangkan menjadi muzium polis. Foto Mohd Hafizee Mohd Arop
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


POLIS Perak akan menghantar cadangan kepada Bukit Aman untuk menjadikan Balai Polis Tronoh di Batu Gajah sebagai muzium memandangkan usianya yang sudah menjangkau lebih 100 tahun.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata, cadangan itu difikirkan sesuai memandangkan balai berkenaan mempunyai ciri lama yang boleh dijadikan sebagai bahan sejarah untuk generasi akan datang.

Menurutnya, balai polis dibina pada 1906 itu dilihat lebih lama berbanding Balai Polis Bukit Kepong di Johor yang dibina pada 1940 dan sudah pasti banyak sejarah tidak diketahui mengenainya.

“Menurut sejarah, balai yang masih beroperasi hingga kini, awalnya terdiri daripada anggota Sikh dan Gurkha sehingga 1948.

“Pihak saya akan menulis surat kepada Bukit Aman untuk mendapatkan kebenaran menjadikannya sebagai muzium polis dengan menempatkan pelbagai barangan lama,” katanya ketika ditemui media selepas lawatan kerja Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) Bukit Aman Datuk Seri Tajudin Md Isa ke balai berkenaan.

Razarudin berkata, sekiranya balai berkenaan dibenarkan untuk dijadikan muzium polis, pihaknya mencadangkan untuk menempatkan barang pameran seperti gari, senjata, parang dan telefon yang dikategorikan sebagai barangan lama.

Menurutnya, terdapat juga cadangan untuk membina balai lain di tanah bersebelahan sekiranya balai lama itu dijadikan muzium namun pembinaan balai baru termasuk 20 unit berek itu masih di peringkat cadangan.

“Ia masih cadangan, kita berharap sekiranya ada peruntukan dari kerajaan mungkin boleh dibina, itu masih di peringkat cadangan dan jumlah kos pembinaan juga kita belum ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 2:36 PM