BUDAK dua tahun meneguk arak hingga tular di media sosial. FOTO Ihsan Pembaca.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


WARGANET gempar apabila video berdurasi 30 saat memaparkan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dipercayai meminum arak, tular di media sosial.

Dalam video itu, kanak-kanak lelaki memakai baju merah dilihat meneguk satu tin arak sambil aksinya dirakam seorang dewasa berkemungkinan ahli keluarganya.

Kejadian dipercayai berlaku di Iskandar Puteri, Johor Bahru, semalam.

Susulan penularan video itu, orang awam membuat laporan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Senior Asisten Komisioner Md Yusof Ahmad mengesahkan pihaknya menerima laporan itu kira-kira 9 pagi semalam.

Bagaimanapun, katanya, pada 9 malam hari sama, wanita dipercayai ibu kepada kanak-kanak itu turut membuat laporan polis menafikan sengaja membiarkan anaknya meminum arak.

“Ibu kanak-kanak itu mendakwa anaknya mengambil sendiri tin arak yang diletakkan suaminya di atas tempat ibadat di rumah mereka.

“Kanak-kanak itu ditinggalkan sebentar ketika kejadian. Budak-budak mungkin dia ingat air biasa, jadi dia minumlah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Md Yusof berkata, pihaknya masih menyiasat kejadian itu dan kanak-kanak berkenaan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 1:46 PM