AMIL Abdullah. FOTO Arkib NSTP
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


“KAMI sedih kerana tidak dapat menguruskan ‘perjalanan akhir’ ayah, tetapi reda kerana ayah meninggal dunia pada hari yang mulia, Jumaat dan di tempat yang suci ketika dalam niat menunaikan Haji,” kata Muhammad Azizan Amil, 38.

Muhammad Azizan adalah anak sulung kepada Allahyarham Amil Abdullah, 63, jemaah Haji Malaysia yang meninggal dunia di Makkah, Jumaat lalu.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital King Faisal akibat jangkitan kuman dalam darah dan dikebumikan selepas Subuh, Sabtu lalu.

Muhammad Azizan berkata, dia dan empat adiknya dimaklumkan keadaan bapa mereka kira-kira jam 10 pagi, Khamis lalu oleh ibu mereka, Salmah Ahjar, 60, ketika itu, bapanya ditempatkan di hospital.

“Mungkin ayah tidak mahu anak-anak risau, sebelum dimasukkan ke hospital arwah beritahu cuma sakit kaki biasa sahaja, katanya mungkin kerana terlalu banyak bergerak di sana (Makkah).

“Bagaimanapun apabila dimaklumkan arwah dimasukkan ke hospital, mak beritahu kaki ayah bengkak, kemudian ada air dalam kaki ayah yang membawa kepada jangkitan kuman dalam darah dan terus ke otak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Selepas menerima berita tentang kesihatan bapanya, Muhammad Azizan berkata, mereka sekeluarga mengadakan solat hajat di rumah ibu bapanya di Taman JP Perdana, Johor Bahru, bagi memohon kesembuhan Allahyarham Amil.

Pada Jumaat pula, jemaah surau di tempat tinggal bapanya mengadakan solat hajat bagi tujuan sama.

Namun, kira-kira 11 malam selepas selesai solat hajat, mereka menerima panggilan daripada pegawai Tabung Haji (TH) yang memaklumkan bapanya meninggal dunia.

Menceritakan detik akhir pertemuan dia dan arwah, Muhammad Azizan berkata, pada malam 8 Julai lalu, dia dan adik beradik lain menghantar kedua ibu bapanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) sebelum berlepas ke Tanah Suci.

Menurutnya, ketika itu arwah bapanya kelihatan sangat teruja dan langsung tidak menunjukkan tanda sakit.

“Ini kali pertama ayah dan mak menunaikan Haji, sudah pasti ayah sangat teruja. Ayah memang tidak ada sakit teruk, hanya sakit orang tua.

“Ketika sudah berada di Makkah, memang ada ayah cakap sakit kaki. Ayah beritahu ada ke farmasi untuk beli ubat dan mendapatkan rawatan di klinik TH di sana, sebelum dirujuk ke hospital.

“Ayah dan mak akan hantar WhatsApp kepada kami di sini dan berkongsi pengalaman mereka di sana. Kali terakhir ayah WhatsApp saya pada Isnin dan Selasa minggu lalu,” katanya.

Ditanya apa pesanan Allahyarham sebelum berangkat ke Tanah Suci, menurutnya sebagai anak sulung, arwah memintanya sentiasa menjaga adik-beradik dan jangan meninggalkan suruhan Allah.

Muhammad Azizan berkata, arwah bapanya seorang yang kuat bekerja dan selepas sebulan bersara daripada perkhidmatannya selama 38 tahun di Malaysia Marine and Heavy Engineering (MMHE), Pasir Gudang, ketika berusia 55 tahun, bapanya bekerja secara kontrak di Bahagian Baik Pulih Kapal sebuah syarikat swasta sehingga kini.

Pada masa sama, biarpun risau keadaan ibunya yang kini berseorangan di Tanah Suci, mereka sekeluarga percaya ibunya dikelilingi teman yang baik.

Berita berkaitan:

  • Jemaah pertama meninggal di Tanah Suci
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 1:33 AM