(GAMBAR FAIL) Jemaah haji dari seluruh dunia melaksanakan rukun haji kedua iaitu wukuf di Arafah. FOTO BERNAMA
BERNAMA

ORANG ramai yang berhasrat menunaikan fardu haji disaran mengikut prosedur permohonan visa haji melalui saluran yang betul, kata Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi kenyataan di Makkah, hari ini.

Kenyataan itu memberitahu permohonan mengerjakan haji warganegara Malaysia menetap di Malaysia tertakluk kepada giliran haji bakal jemaah mengikut tahun pendaftaran haji dan permohonan, kelulusan serta pengeluaran visa haji perlu diperoleh melalui Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.

“Permohonan untuk melaksanakan haji bagi visa haji Furada adalah di luar bidang kuasa TH. Namun begitu, kedua-dua permohonan visa haji tersebut mestilah dilaksanakan di Kuala Lumpur.

“Sistem e-Haj bagi visa haji yang dilaksanakan oleh Kerajaan Arab Saudi memerlukan pemohon melengkapkan data-data seperti perjanjian perumahan di Madinah dan Makkah; perjanjian pengangkutan pergi dan balik dari negara asal; perjanjian sajian makanan serta perjanjian bersama Muassasah,” katanya.

Menurut kenyataan itu umum sedia maklum, warganegara Malaysia yang ingin berkunjung ke Arab Saudi pada bila-bila masa, memerlukan visa sama ada visa umrah, haji, ziarah, urusan perniagaan atau visa bekerja.

Kenyataan menjelaskan TH amat menitikberatkan isu keselamatan jemaah haji dan khuatir dengan tindakan beberapa pihak mutakhir ini yang ingin menunaikan ibadat haji melalui jalan darat seperti menggunakan basikal, motosikal dan kenderaan pacuan empat roda.

“Penggunaan jalan darat terdedah kepada risiko keselamatan, kemalangan, kegagalan mendapat visa sekali gus menghalang niat menunaikan haji,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman sebagai berkata TH sentiasa mematuhi prosedur permohonan visa haji dan permohonan luar daripada prosedur ditetapkan dan ketidakpatuhan proses boleh menjejaskan hubungan baik dua negara.

“Kelulusan visa haji adalah hak mutlak kerajaan Arab Saudi. Walaupun ada kemampuan kewangan, umat Islam perlu faham bahawa kewajipan haji merangkumi penggiliran dalam kuota haji, kesihatan dan keselamatan sepanjang perjalanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 1:07 AM