Khairul Najib Asarulah Khan
khairul.najib@nstp.com.my


PEMANDU ‘e-hailing’ tidak sempat menikmati hasil samun kedai serbaneka 24 jam apabila gagal meloloskan diri dalam kejadian di Salak Selatan Baru, Kuala Lumpur, semalam.

Suspek berusia 21 tahun itu, ditahan sebaik keluar dari premis terbabit oleh anggota polis yang sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, dalam kejadian 3 pagi itu, suspek hendak melarikan diri dengan sebuah kereta.

“Hasil pemeriksaan, kita menemui 68 kotak rokok pelbagai jenis, lima botol minuman keras, dua paket coklat dan bateri saiz AA serta lapan batang curut yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM1,500.

“Suspek juga mengambil wang tunai RM60 dari kaunter juruwang serta dua bungkus plastik yang mengandungi wang syiling,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Menurutnya, kemungkinan suspek juga melakukan kegiatan itu di beberapa kedai serbaneka 24 jam yang dilaporkan di kawasan lain.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan. Suspek ditahan reman selama lima hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 11:34 PM