JOAANA Yu ketika hadir perbicaraan Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan penyelewengan dana SRC International, hari ini. FOTO Zunnur Al Shafiq.
Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu terdapat jumlah transaksi tinggi bagi tiga akaun semasa Ambank milik Datuk Seri Najib Razak antara 2011 dan 2015 yang antaranya didakwa sebagai ‘hadiah’.

Pengurus Perhubungan Ambank, Joaana Yu Ging Ping, 48, berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes pecah amanah, salah guna kedudukan dihadapi Najib, 65.

Menurutnya, transaksi itu adalah termasuk dana masuk ke dalam akaun Najib dari luar negara dalam bentuk mata wang asing .

“Bagi tujuan untuk melaporkan dana masuk dari luar negara kepada Bank Negara Malaysia (BNM), saya bertanya kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil yang sudah diberi mandat oleh Najib berhubung akaun itu.

“Nik Faisal memaklumkan bahawa ia adalah ‘hadiah’,” katanya ketika membaca keterangan saksi di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Yu berkata, beliau tidak mempunyai hubungan terus dengan akaun Najib di bank, tetapi akan membantu untuk menyediakan apa sahaja permintaan bekas Perdana Menteri itu melalui Nik Faisal.

“Semua pemindahan dana antara akaun semasa Najib adalah atas arahan bertulis daripada Nik Faisal. Saya akan memberi arahan daripada Nik Faisal itu kepada cawangan untuk tindakan mereka.

“Oleh kerana Najib adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, walaupun terdapat pengeluaran berlebihan daripada akaun semasa miliknya, pihak bank tidak akan menendang cek dikeluarkannya,” katanya.

Menurutnya, pihak bank akan memaklumkan keadaan itu kepadanya dan beliau akan terus menghubungi Nik Faisal bagi mengatasi masalah itu.

“Apabila terdapat arahan daripada Nik Faisal, ia akan diambil sebagai arahan daripada Najib sendiri. Saya akan memaklumkan kepada Cheah (Ketua Pengarah Kumpulan AmBank, Cheah Tek Kuang) dari semasa ke semasa.

“Ini kerana saya percaya Najib berhubung dengan Cheah, oleh itu saya saya perlu memaklumkan kepadanya mengenai tindakan daripada pihak bank,” katanya.

Terdahulu, saksi ke-54 itu memberitahu mahkamah, beliau mengenali ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low pada 2008 dan beliau dihubungi lelaki yang kini melarikan diri dari Malaysia itu pada 2011 berhubung proses pembukaan akaun simpanan dan semasa termasuk kad kredit Najib di AmBank.

“Saya memaklumkan bahawa pelanggan perlu datang ke cawangan bank bagi pengesahan cap jari dan kad pengenalan diri bagi pengesahan.

“Jho Low bertanya sama ada bolehkah Cheah bertemu Najib secara peribadi bagi memproses permohonan itu. Saya maklumkan perkara itu kepada Cheah yang selepas itu meminta saya menyediakan borang diperlukan,” katanya.

Berhubung kod nama khas iaitu ‘AmPrivate Baking-MR’ bagi akaun semasa milik Najib itu, Yu berkata ia adalah kali pertama ia dilakukan dalam pengalamannya dalam menguruskan pelanggan korporat.

“Ia adalah berdasarkan permintaan daripada Jho Low supaya ia hanya dikenali sedemikian bagi memastikan kerahsiaan. Saya kemudian periksa dengan bahagian operasi yang kemudian memaklumkan ia boleh dibuat demikian, bagaimanapun identiti akaun perlu dikekalkan.

“Saya tidak pasti siapa tentukan nama akaun itu. Cheah ada beritahu saya bahawa beliau ada maklumkan kepada Gabenor BNM berhubung perkara itu,” katanya.

Yu berkata, berhubung akaun simpanan (nombor akaun berakhir 048-1) dan akaun semasa (nombor akaun berakhir 969-4), Najib ada membuat surat mandat bertarikh 10 Mac 2011 kepada Nik Faisal.

“Najib menamakan Nik Faisal untuk diberi mandat untuk urusan pertanyaan status dan maklumat berhubung akaun, untuk mengesahkan cek yang melebihi RM250,000 dan bagi pihak bank menunaikan cek bagi jumlah sehingga RM250,000 tanpa pengesahan daripada Najib atau Nik Faisal.

“Pada 2011, Najib ada satu akaun simpanan, satu akaun semasa dan dua kad kredit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 8:21 PM