FOTO yang tular di media sosial.
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


TAMAN Teknologi Malaysia (TPM) memohon maaf atas kesilapan berhubung aduan motosikal Polis Bantuan TPM dan payung yang diletakkan di parkir orang kurang upaya (OKU) sehingga tular di media sosial.

Jabatan Komunikasi Korporatnya dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan bagi memastikan perkara ini tidak berulang.

“TPM sentiasa prihatin dan memberikan keutamaan kepada OKU, malah kami menyediakan pelbagai fasiliti untuk golongan ini di dalam kawasan TPM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Harian Metro, hari ini, melaporkan polis akan mengeluarkan surat teguran kepada Polis Bantuan Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, susulan tular di media sosial gambar motosikal mereka diparkir dalam petak khas orang kurang upaya (OKU) di kawasan itu.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Asmawati Ahmad berkata, siasatan pihaknya mendapati motosikal dan payung itu adalah milik polis bantuan kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 8:00 PM