WAKIL Sahabat Parlimen Bagan Serai, Suhaimi Abdullah menyampaikan sumbangan peralatan persekolahan kepada empat beradik yatim di Alor Pongsu, Bagan Serai. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
cnews@nstp.com.my


“SEJAK Imazatul Ismail meninggal dunia 11 Julai lalu, hampir setiap hari anak-anaknya menangis merindui ibu mereka.

“Hampir setiap hari mereka mengajak saya menziarahi kubur ibu mereka,” kata Zainab Yusof, 62, nenek kepada empat beradik berusia lima hingga sembilan tahun di Alor Pongsu, Bagan Serai,.

Zainab berkata, Imazatul meninggal dunia pada usia 39 tahun akibat penyakit batuk kering dihidapinya sejak kira-kira dua tahun lalu.

Katanya, arwah meninggalkan empat anak iaitu Elisya Qaisara Mohd Suhaimi, 5; Nur Umairah, 7; Mohd Aliff, 8, dan Nurliana, 9.

“Sebelum ini, arwah tinggal di Balik Pulau, Pulau Pinang, dan pulang ke sini pada 2017 selepas berpisah dengan suaminya. Sejak itu, arwah mulai sakit dan tidak dapat berkerja sehinggalah dia meninggal dunia.

“Kini mak cik tidak tahu bagaimana nak uruskan empat beradik ini tambahan pula kami tiada punca pendapatan atau bantuan daripada mana-mana kecuali bergantung dengan duit pencen bulanan arwah suami sebanyak RM1,000 sebulan,” katanya ketika ditemui media selepas menerima kunjungan Pusat Khidmat Parlimen dan Sahabat Parlimen Bagan Serai, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Strategi Pusat Khidmat Parlimen Bagan Serai, Noor Azman Ghazali mewakili Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Zainab bimbang tidak dapat menguruskan empat cucunya yang masih bersekolah kerana mereka sebelum ini diuruskan ibu mereka, terutama pelbagai hal persekolahan termasuk penyertaan dalam aktiviti ko-kurikulum serta jadual belajar.

Sehubungan itu, beliau berharap ada pihak yang sudi tampil membantu dan menguruskan hal pembelajaran dan kos penjagaan empat beradik itu.

Sementara itu, Noor Azman berkata, Pusat Khidmat Parlimen Bagan Serai bersimpati dengan nasib mereka dan akan membiayai perbelanjaan persekolahan dan kehidupan empat beradik itu.

“Dalam kunjungan pertama kami sebelum ini, anak ketiga, Nur Umairah, menangis teresak-esak kerana terlalu merindui ibu mereka sehingga teringat waktu arwah menyuapkan ayam goreng KFC kepadanya dan adik beradik lain.

“Jadi, kunjungan kali ini Pusat Khidmat dan Sahabat Parlimen Bagan Serai membawa ayam KFC kepada keluarga ini serta alat tulis kepada mereka.

“Selain itu, pasukan kami akan turut menyumbangkan beberapa basikal dan akan turut meraikan mereka ke Taman Tema Air Bukit Merah Laketown Resort dalam masa terdekat,” katanya.

Noor Azman berkata, pihaknya turut berusaha mendapatkan bantuan beberapa agensi dan badan korporat yang berminat untuk membiayai kehidupan empat beradik itu.

Katanya, orang ramai yang ingin membantu keluarga itu boleh menyalurkan bantuan terus ke akaun Maybank 1583 0500 7669 atas nama Zainab Yusof atau menghubunginya di talian 010-8019373.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 5:02 PM