Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas pertuduhan merogol anak kandungnya sehingga disahkan hamil tujuh minggu.

Tertuduh berusia berusia 51 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan kerana merogol dibacakan di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 16 tahun di sebuah rumah di Kuala Terengganu pada 9 malam Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 27 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, seorang bapa yang sepatutnya menjadi pelindung anak sendiri gagal menunaikan amanah diberikan apabila tergamak menjadikan anaknya sebagai tempat pemuas nafsu sehingga gadis malang itu disahkan hamil tujuh minggu.


LELAKI berusia 51 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas pertuduhan merogol anaknya berusia 16 tahun hingga hamil. FOTO Ghazali Kori

Suspek itu dikatakan merogol mangsa yang juga anak keempat daripada lima beradik sejak lima tahun lalu iaitu selepas satu tahun kematian isterinya.

Perbuatan suspek terbongkar selepas mangsa yang mengadu muntah dan sakit di bahagian perut mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebelum disahkan hamil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 4:53 PM