Muhammad Yusof diiringi anggota polis selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu atas pertuduhan merogol isteri orang di Dungun pada tahun lalu. Foto Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


PENGANGGUR mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini, atas pertuduhan merogol isteri orang ketika memecah masuk sebuah rumah dalam kejadian di Dungun pada tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Yusof Othman, 28, juga dari Dungun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2) (b) Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 29 tahun di sebuah rumah pada 5.40 pagi.

Tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum penjara 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya M Lishantini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada sebarang jaminan ditawarkan.

Tertuduh juga sedang menghadapi bicara ketika ini terhadap dakwaan menyamun mangsa yang sama mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki bukan sahaja menyamun wang tunai RM200 dan telefon bimbit daripada seorang wanita, malah sempat memuaskan nafsunya dengan merogol mangsa.

Lelaki itu yang hanya memakai seluar dalam tanpa baju dan bertopeng ketika memecah masuk rumah mangsa.

Dia dikatakan mengajak wanita mangsa yang baru beberapa bulan berkahwin mengadakan hubungan seks tetapi ditolak sebelum mengugut dengan mengacukan gunting di leher mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 4:51 PM