Anggota polis dan jururawat membantu Anis untuk dibawa ke HTF bagi mendapatkan rawatan lanjut selepas bersalin di pekarangan IPD Arau, hari ini. Foto Ihsan PDRM
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


TIDAK sempat sampai ke hospital menyebabkan seorang wanita terpaksa bersalin dalam kereta di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, hari ini.

Anis Syabila Roslan, 19, selamat melahirkan seorang bayi perempuan dalam kereta Perodua Kancil di kawasan parkir IPD Arau kira-kira 12 tengah hari tadi.

Ibu mentua Anis yang mahu dikenali sebagai Toyibah, 41, berkata, dia bersama besannya dalam perjalanan dari rumah anaknya di Pauh untuk menghantar Anis ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) kira-kira 11.30 pagi.

“Anak lelaki (Mohd Ikhwan Mohd Sidi) saya sebelum itu telefon beritahu isterinya mengalami pendarahan disamping mengadu berasa sakit hendak bersalin.

“Saya dan besan kemudiannya ke rumah mereka untuk membawa Anis ke HTF. Ketika dalam perjalanan dan sampai di bandar Arau, besan memaklumkan kepala bayi sudah kelihatan.

“Besan lelaki yang sedang memandu kereta gusar melihat keadaan itu terus membelokkan kereta ke pekarangan IPD dan meminta kebenaran anggota polis untuk Anis bersalin di situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, anggota polis berkenaan memberi kebenaran kepada mereka serta turut membantu keluarga berkenaan bagi memudahkan Anis bersalin.

“Pada mulanya anggota polis menawarkan bilik kosong tetapi dengan keadaan Anis yang sedang bertarung nyawa, kami terpaksa biarkannya bersalin dalam kereta.

“Kira-kira 12 tengah hari, Anis selamat melahirkan bayi perempuannya yang disambut sendiri oleh besan,” katanya.

Menurut Toyibah, kira-kira 10 minit kemudian barulah ambulans tiba dan kemudiannya membawa Anis dan bayi ke HTF.

“Kami bersyukur kerana semuanya selamat dan berterima kasih kepada pihak IPD Arau yang turut membantu menantu bersalin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Nanda Maarof ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menjelaskan ia pertama kali berlaku di IPD itu.

“Melihatkan keadaan mereka yang darurat, semestinya anggota kami akan membantu sedaya mungkin untuk memudahkan urusan keluarga berkenaan.

“Kami bersyukur tiada komplikasi yang berlaku ketika bayi berkenaan dilahirkan dan adalah menjadi tanggungjawab setiap pegawai dan anggota polis untuk membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 3:58 PM