AMIL meninggal akibat jangkitan kuman dalam darah dan sudah dikebumikan selepas Subuh pada Sabtu lalu. FOTO Yusri Abdul Malek.
Yusri Abdul Malek
yusrimalek@hmetro.com.my


SEORANG jemaah dari Johor Bahru, Amil Abdullah, 63, meninggal dunia di Hospital King Faisal, Makkah, Jumaat lalu akibat jangkitan kuman dalam darah dan sudah dikebumikan selepas Subuh pada Sabtu.

Tabung Haji (TH) mengucapkan takziah kepada keluarga jemaah berkenaan dan akan membuat badal haji untuk Allahyarham secara percuma.

Setakat ini, seramai 16,628 jemaah haji Malaysia sudah berada di Tanah Suci.

Daripada jumlah itu, 15,440 jemaah berada di Makkah manakala selebihnya di Madinah dan semua jemaah di Madinah dijangka tiba di Makkah hari ini.

Ketua Rombongan Haji Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, setakat operasi bermula 4 Julai lalu, semua urusan berjalan lancar dan terkawal dengan kerjasama Muassasah Asia Tenggara, Kementerian Haji Arab Saudi dan pihak berkaitan.

Beliau berkata, pada keseluruhannya kebajikan jemaah diberi keutamaan.

“Selain itu, cuaca di Makkah kini mencecah suhu maksimum 47 Selsius terutama antara selepas Zuhur dan Asar.

“Berikutan itu, jemaah yang mahu melakukan aktiviti luar seperti berjalan ke masjid, melakukan ziarah luar atau membeli belah, elakkan daripada terdedah terlalu lama dalam cuaca panas.

“Jemaah dinasihatkan meminum air dalam jumlah yang banyak bagi mengelak kekurangan air dalam badan.

Cuaca panas ini dijangka berlarutan hingga waktu wukuf,” katanya.

Syed Saleh berkata, suhu panas pernah direkodkan 51 Selsius semalam dan 50 Selsius pada Sabtu.

Katanya, dalam tinjauan di Mina dan Arafah pada pagi kelmarin, suhu pada sebelah pagi adalah 41 Selsius dan meningkat kepada 44 Selsius menjelang tengah hari.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, sistem E -TAIB yang dilancarkan minggu lalu sudah menerima 433 soalan dikemukakan jemaah kepada pembimbing haji berkaitan persoalan dan kemusykilan mengenai ibadah haji dan umrah.

Menurutnya, ada bakal jemaah di tanah air turut mengemukakan soalan, gambar dan video mengenai apa yang perlu mereka bawa serta kepastian sebelum mereka berlepas ke Tanah Suci.

“Sistem ini memudahkan dan ada interaktif antara pembimbing haji serta jemaah.

“Bagi memudahkan jemaah bertanya pelbagai persoalan atau kemusykilan, talian E-TAIB ini akan dibuka 24 jam mulai 27 Julai ini hingga 24 Ogos ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 3:53 PM