FOTO Hiasan
Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my


PASANGAN suami isteri dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen secara berasingan di Kuala Lumpur hari ini, terhadap pertuduhan mengabaikan anak mereka yang juga orang kurang upaya (OKU) hingga menyebabkan kematian pada Januari lalu.

Ibu kandung mangsa yang berusia 52 tahun dan suami yang juga bapa tiri mangsa, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid dan Mahyon Talib.

Mengikut pertuduhan, wanita yang berkerja sebagai tukang masak di pejabat kerajaan itu didakwa melakukan pengabaian ke atas anak bongsunya yang berusia 13 tahun di sebuah hospital di sini, pada 12.30 tengah hari, 13 Januari lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)a Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, suami tertuduh yang juga peniaga kuih didakwa atas perbuatan yang sama terhadap anak tirinya pada masa dan waktu yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri dan Siti Hajar Mohd Ashif tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh kerana kesalahan dilakukan tidak boleh dijamin.

Pasangan itu diwakili peguam Razman Sahat kemudiannya memohon mahkamah mengenakan jaminan kerana wanita atas alasan wanita itu menghidap penyakit kencing manis dan buah pinggang serta perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

Selain itu, Razman berkata, suaminya pula perlu menjaga kesihatan buah pinggangnya kerana sedang dipantau untuk didermakan pada isterinya.

Emilia Kaswati membenarkan wanita itu dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin, manakala Mahayon membenarkan suaminya dijamin RM15,000.

Tertuduh lelaki itu juga perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap 1 haribulan setiap bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 16 Ogos depan bagi serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 3:11 PM