LAPORAN eksklusif Harian Metro mengenai isu vape, 20 Julai lalu.
Zuhainy Zulkiffli
am@metro.com.my


PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya memperkenalkan undang-undang mengawal peralatan rokok elektronik atau vape yang dijual secara dalam talian.

Ia berikutan pendedahan media baru-baru ini mengenai pelbagai jenis vape bersaiz kecil termasuk berbentuk samaran seperti jam tangan yang menjadi kegilaan baru murid serta pelajar sekolah.

Pemangku Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, berikutan mudah untuk dibawa ke sekolah tanpa menimbulkan sebarang curiga, ia menjadi semakin popular di kalangan murid dan pelajar.

Katanya, harganya yang murah menyebabkan ia mudah dimiliki oleh golongan berkenaan.

“Keselamatan alat ini juga diragui kerana tidak mempunyai pelekat daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM) atau Suruhanjaya Tenaga (EC).

“Bagaimana alat ini memasuki pasaran Malaysia melainkan ia diseludup atau diikrarkan sebagai produk lain?” katanya dalam kenyataan di Georgetown, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan terdapat vape berbentuk pen, pemetik api serta pemacu pena dijual di pasaran dan kanak-kanak seawal usia 10 tahun antara yang dikesan mengalami ketagihannya.

Malah, ada antara mereka juga dikenal pasti membekalkan peralatan berkenaan kepada rakan lain.

Menurut Mohideen, CAP mendapati vape berbentuk samaran jam tangan boleh ditanggalkan daripada tali di pergelangan tangan dan berfungsi sebagai pod penyimpan cecair.

Alat jam tangan itu berfungsi dengan menggunakan bateri serta boleh dicas semula bagi mengisi cecair vape pilihan mereka.

Vape dan cecairnya dibeli pada harga serendah RM2 hingga RM60 dan boleh diisi sehingga 2 mililiter (ml) bagi setiap isian.

“Industri tembakau menghasilkan vape yang lebih inovatif dilihat secara beransur-ansur akan menggantikan rokok konvensional.

“Akta Kawalan Tembakau yang mandiri amat diperlukan pada saat ini dan kerajaan perlu menguatkan lagi kawalan ke atas penggunaan produk tembakau di bawah garis panduan Rangka Kerja Konvensyen bagi Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (WHO),” katanya lagi.

Sehubungan itu, CAP menggesa pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan (MoH), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia (JKDM), EC dan pihak sekolah supaya mengambil tindakan tegas terhadap perkara berkenaan.

Semalam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilapor akan bekerjasama dengan KPDNHEP bagi membanteras penjualan rokok elektronik atau vape kepada murid sekolah.

Berita berkaitan:

  • KPM, KPDNHEP kerjasama banteras jualan vape
  • Syor tampal poster bahaya vape
  • Selia jualan online
  • Rujuk kenyataan sudah dikeluarkan - Dr Maszlee [METROTV]
  • Budak berasap
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 3:05 PM