FOTO Hiasan
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@nstp.com.my


TUKANG besi mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan menumbuk bekas isterinya di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Tertuduh, Putra Aliff Aqhmal Pervira, 26, didakwa melakukan kesalahan itu pada 1 Julai lalu.

Pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, Putra Aliff didakwa menyebabkan kecederaan kepada wanita berusia 24 tahun yang ketika itu masih isterinya dengan cara menumbuk pada muka mangsa.

Kesalahan itu dilakukan ketika tertuduh sedang memandu di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) berhampiran lampu isyarat Paya Rumput kira-kira 10 malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326a Kanun Keseksaan yang peruntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Ketika prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 kepada tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh merayu jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan tindakannya itu disebabkan berang dengan bekas isteri yang tidak membenarkannya membawa bayi mereka berusia lapan bulan pulang ke kampung halamannya.

Sejurus mendengar hujah kedua pihak, Muhammad Nazrin kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 2:55 PM