PETIKAN daripada video yang tular
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


POLIS sedang mengesan dua beradik yang menyerang guru di sekolah menengah di daerah Bachok, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, suspek masing-masing berusia 42 dan 30 tahun sudah dikenal pasti.

“Mangsa berusia 52 tahun yang juga guru di sekolah terbabit membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok, tengah malam tadi.

“Susulan itu usaha mengesan suspek yang sudah dikenal pasti sedang giat dijalankan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dalam kejadian itu mangsa mengalami sakit dan calar di dada selepas diserang suspek.

“Maklumat awal diperoleh, ia dikatakan berpunca anak saudara suspek digantung sekolah dan berlaku salah faham antara guru dan keluarga.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 447 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dan menceroboh kawasan sekolah,” katanya.

Terdahulu, satu video seorang lelaki yang memarahi seorang guru mula tular di Facebook dan WhatsApp, sejak malam ini.

Video berdurasi tiga minit dan 31 saat itu memaparkan seorang lelaki memarahi seorang guru yang didakwa mengeluarkan kata kurang enak kepada isterinya.

Individu itu dikatakan saudara kepada pelajar sekolah terbabit yang sudah dikenakan tindakan gantung sekolah.

Lelaki itu mendakwa tidak mendapat surat berhubung perkara itu daripada pihak sekolah.

Namun, guru itu memaklumkan sudah memberi surat berkenaan kepada pelajarnya.

Lelaki itu juga mengeluarkan kata kurang sopan kepada guru lelaki itu.

Berita berkaitan:

  • Serang cikgu sebab salah faham
  • Apahal serang cikgu?
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 12:38 PM