Status di media sosial mengenai motosikal Polis Bantuan Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil yang parkir di petak khas OKU. Foto Ihsan Pembaca
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


POLIS akan mengeluarkan surat teguran kepada pihak Polis Bantuan Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur susulan tular di media sosial gambar motosikal mereka parkir dalam petak khas orang kurang upaya (OKU) di kawasan itu.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Asmawati Ahmad berkata, siasatan pihaknya mendapati motosikal dan payung itu adalah milik polis bantuan kawasan itu.

“Aduan itu sudah dimajukan kepada Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon.

“Beliau sudah menghubungi pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Asmawati berkata, Ketua Polis Daerah Cheras juga akan mengeluarkan surat teguran kepada mereka supaya lebih sensitif dan peka serta menjaga nama baik PDRM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 12:26 PM