DR Dzulkefly berkata kes terbaharu itu direkodkan sehingga 12 tengah malam tadi. FOTO Rohanis Shukri.
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


SEMBILAN kes baharu sesak nafas dikesan di Pasir Gudang, Johor semalam, membabitkan lapan murid dan seorang guru.

Mereka daripada empat sekolah di daerah itu bagaimanapun hanya menerima rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Pasir Gudang.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sembilan kes itu membabitkan tiga lelaki dan enam perempuan.

“Tiada yang ditahan di wad. Mereka dikatakan terhidu bau busuk dan bau bahan yang terbakar di waktu pagi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Neuropsychiatry Masterclass 2019 di Petaling Jaya, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, sekolah yang terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort (3 murid), SK Kopok (2 murid), SK Taman Rinting 3 (2 murid dan guru) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 2 (1 pelajar).

Menurutnya, simptom pening dan sesak nafas selain serangan panik boleh berlaku pada bila-bila masa memandangkan terdapat 250 kilang kimia dan 2,500 industri di Pasir Gudang.

“Kalau ini punca tercetusnya pelbagai (kes kesihatan), itu adalah sangat kita fahami dan pakar-pakar psikiatri kita tahu ini boleh mencetuskan sindrom serangan panik yang berulang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 11:57 AM