KEADAAN kenderaan yang hilang kawalan sebelum merempuh rumah dalam kejadian di Kampung Sungai Rengas. FOTO ihsan bomba
Zatul Ifffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

SEORANG lelaki nyaris maut selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu hilang kawalan lalu merempuh dua rumah dan lima kenderaan di Kampung Sungai Rengas, di sini, jam 8.15 pagi, semalam.

Ketika kejadian pemandu berusia 20-an itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Sungai Rengas menghala ke Kuala Terengganu.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Pegawai Bomba Kanan II Ab Halim Adam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.22 pagi.

Katanya, susulan panggilan sembilan anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi.


ANGGOTA bomba dan paramedik memberi bantuan kecemasan awal kepada mangsa. FOTO ihsan bomba

“Ketika di lokasi kami mendapati Toyota Hilux berkenaan terperosok di bawah sebuah rumah papan yang tidak berpenghuni.

“Sementara itu pemandunya sudah dikeluarkan orang awam sebelum diserahkan kepada ambulans untuk dibawa ke hospital,” katanya.

Ab Halim berkata, berdasarkan maklumat awal diterima, pemandu Toyota Hilux dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh dua buah rumah di lokasi kejadian.

“Toyota Hilux berkenaan turut melanggar lima kenderaan lain iaitu Perodua Myvi, Proton Waja dan Perodua Kancil serta dua buah motosikal.

“Ketika kejadian, ada dua penghuni dalam salah sebuah rumah berkenaan, namun setakat ini tidak ada kecederaan dilaporkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 5:15 AM