MOHD Lutfi berkongsi kegembiraan bersama rakannya selepas menerima wang tunai RM10,000 dalam cabaran memancing di Tasik Taman Rekreasi Durian Daun, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar
am@hmetro.com.my


AJAKAN beberapa rakan untuk menyertai pertandingan memancing membawa tuah kepada Mohd Lutfi Khalid, 35, apabila berjaya membawa pulang wang tunai RM10,000 dalam cabaran memancing di Tasik Pusat Rekreasi Durian Daun, Masjid Tanah di sini, semalam.

Menurut Mohd Lutfi, dia menerima ajakan itu beberapa hari sebelum pertandingan yang bermula dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, semalam melalui kerjasama antara Pengarah Urusan Pancing Bersatu Teguh, Jais Hamidon dengan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Solok Air Batu, Durian Daun, Mohd Hamidi Ramli.

Katanya, dia sering menyertai pertandingan memancing di kolam ikan yang menawarkan hadiah wang tunai antara RM1,000 hingga RM1,500 sebelum ini tetapi sudah lama tidak menyertai pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan.

“Kawan mengajak saya menyertai cabaran memancing di tasik ini kerana sudah lama tidak masuk pertandingan besar dan Alhamdulillah dipilih oleh Allah sebagai pemenang utama,” katanya selepas penyampaian hadiah oleh Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Mohd Nizam Dawood.

Mohd Lutfi yang bekerja sebagai tukang kayu berkata, menggunakan umpan cacing, dia berjaya menaikkan ikan keli Afrika seberat 3.75 kilogram (kg) kira-kira 18 minit selepas pertandingan dimulakan pada jam 8.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 5:00 AM