SAMSUDIN menunjukkan plat pendaftaran KMJ 4 digunakan di motosikalnya ketika program rombongan KMJ 2019 Felda Chemplak. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail
am@metro.com.my


“WALAUPUN plat Kembara Mahkota Johor (KMJ) 4 yang digunakan hari ini (semalam) tidak sampai sehari pada motosikal, saya akan abadikan sebagai antara kenangan manis sepanjang hayat,” kata generasi kedua Felda Chemplak di sini, Samsudin Kassim, 58.

Samsudin gembira apabila dua minggu lalu dimaklumkan urusetia KMJ 2019 Felda Chemplak yang dia antara 30 penunggang motosikal terpilih menyertai kumpulan penunggang mengiringi rombongan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di sekitar Felda berkenaan.

Katanya, rombongan itu mengiringi Sultan Johor dalam lawatan di beberapa lokasi terpilih sekitar Felda Chemplak yang turut disertai kerabat Diraja Johor, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, Pegawai Daerah Segamat, Abdul Rahman Salleh dan beberapa pegawai tertinggi kerajaan.


TUNKU Abdul Rahman (tengah bertopi) berkenan mencuba acara tarik tali anjuran penduduk Felda Chemplak Labis pada KMJ 2019. FOTO Fatihah Kamaruddin

“Plat nombor pendaftaran plastik warna putih dan bertulisan biru itu akan disimpan sebagai kenangan kerana belum tentu terpilih pada jelajah KMJ selepas ini.

“Nombor pendaftaran KMJ 4 hanya ditampal di belakang motosikal tidak sampai tiga jam ketika pengisian program, namun saya tetap bangga kerana terpilih dalam aktiviti bersejarah ini.

“Walaupun nombor 4 tidak membawa sebarang makna dalam hidup saya, ia akan disimpan dengan cermat sebagai bukti saya terbabit dalam KMJ 2019 di Felda Chemplak. Alhamdulillah, semuanya selesai dan berjalan lancar,” katanya ketika ditemui di Felda Chemplak, semalam.

Samsudin berkata, dia menunggang motosikal Yamaha Lagenda sejak beberapa tahun lalu dan ia digunakan untuk membawa hasil kebun sawit.

Katanya, dia tinggal dan membesar di tanah rancangan berkenaan sejak bapanya berpindah pada 1969 dan melihat sendiri pelbagai pembangunan serta perubahan di Felda berkenaan.


RAJA Zarith Sofiah (dua dari kiri) berkenan melihat lukisan yang dihasilkan penduduk Felda Chemplak Labis. FOTO Fatihah Kamaruddin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 4:45 AM