NURAIN Syafika menunjukkan koleksi beyblade miliknya ketika menyertai pertandingan PREC Beyblade di SACC Mall, semalam. FOTO Faiz Anuar
Nur Lela Zulkipli
Nurlela@hmetro.com.my


BIARPUN rakan sebaya gemar bersolek dan melakukan aktiviti lebih feminin namun dia menemui hobi mencabar iaitu bermain gasing moden atau dikenali sebagai beyblade.

Nurain Syafika Mat Dahan, 17, mula meminati permainan itu selepas melihat dua sepupunya bermain beyblade, dua bulan lalu.

“Sepupu saya sering bermain beyblade setiap kali datang ke rumah dan selepas beberapa kali melihat mereka menang, perasaan ingin tahu membuak untuk mengenali permainan ini.

“Pada awalnya, saya fikir beyblade hanya permainan kanak-kanak, tetapi selepas mencubanya saya tidak puas bermain dan ingin memenangi pertandingan jika ada rezeki,” kata pelajar tingkatan lima itu dalam Perlawanan PREC Beyblade anjuran PKNS Real Estate Sdn Bhd bersama SACC Digital Planet dan Persatuan Top Blader di SACC Mall di sini, semalam.


PESERTA bertarung dalam PREC Beyblade di SACC Mall, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar

Nurain Syafika berkata, dia meminati beyblade selepas bapanya menjual permainan itu di pasar malam dan sambutan diterima memuaskan daripada pelbagai peringkat usia.

“Saya lihat ramai orang beli beyblade pelbagai spesifikasi daripada harga puluhan hingga ratusan ringgit.

“Disebabkan saya terlalu meminati permainan ini, saya belajar sedikit demi sedikit bagaimana untuk mengubah suai beyblade mengikut keselesaan ketika berlawan,” katanya yang juga satu-satunya peserta perempuan dalam pertandingan itu.

Katanya, tiada seorang pun rakan sebayanya meminati permainan itu namun ia tidak menghalangnya untuk bergiat dalam sukan berkenaan.

“Saya mahu buktikan perempuan juga boleh menjadi profesional dalam sukan ini. Tiada apa yang mustahil jika kita ada minat mendalam.

“Saya masih bergaul seperti biasa dengan rakan sebaya, tapi lebih suka bermain beyblade kerana kepuasan melihat gasing kita bertahan sukar digambarkan dengan kata-kata,” katanya.


MUHAMMAD Arfan Aqeef bersama ibunya, Asmalina Hussin (kiri). FOTO Faiz Anuar

Peserta, Muhammad Arfan Aqeef Mohd Faizal, 10, berkata, dia bertuah kerana ibunya sanggup berlatih bersama untuk memasuki pertandingan itu.

“Saya hanya dibenarkan bermain beyblade pada hujung minggu dan cuti sekolah selepas semua kerja selesai. Jadi, ibu akan menjadi pesaing saya untuk berlatih bermain beyblade.

“Ibu juga banyak memberi sokongan kepada saya untuk melakukan yang terbaik dalam bidang diminati tanpa mengetepikan keutamaan dalam pelajaran,” katanya.

Penyelaras Pertandingan dari PKNS Real Estate Sdn Bhd, Muhammad Nashriq Husaini berkata, dia memilih sukan berkenaan berdasarkan kegilaan kanak-kanak terhadap permainan terbabit.

“Saya lihat terlalu ramai kanak-kanak bermain beyblade, jadi mengapa tidak kita buka plaform untuk mereka bertanding secara profesiona,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 4:30 AM