VIDEO yang tular. FOTO Ihsan Pembaca
Nor Amalina Alias
am@hmetro.com.my


LELAKI menyerang seorang guru sehingga tular malam tadi kerana dipercayai berlaku salah faham membabitkan anak saudaranya yang digantung sekolah.

Sumber Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bachok dalam kenyataan malam tadi berkata, kejadian berlaku jam 10.30 pagi, Sabtu lalu.

Katanya, dua lelaki itu menyerbu sekolah dan mengasari Guru Penolong Kanan Pentadbiran (PKP) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gunung berusia 52 tahun.

“Sebelum itu, guru itu menghubungi ibu bapa pelajar supaya hadir ke sekolah bersama-sama pelajar untuk tandatangan akujanji namun hanya pelajar yang hadir.

“Berlaku salah faham apabila isteri penyerang yang juga bapa saudara pelajar yang digantung sekolah mendakwa guru ini menyerangnya dan mengeluarkan perkataan kurang enak.

“Mereka kemudian bertindak menyerang guru ini di sekolah, namun selepas diberi penjelasan, mereka faham dan meminta maaf,” katanya dalam satu kenyataan.

Difahamkan, pihak sekolah juga akan mengadakan sidang media pagi esok untuk memberi penjelasan lanjut berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah ketika dihubungi berkata, kejadian itu masih dalam siasatan dan setakat 12 tengah malam tadi, pihaknya masih belum menerima laporan.

Terdahulu, satu video seorang lelaki yang memarahi seorang guru mula tular di Facebook dan aplikasi WhatsApp, sejak malam tadi.

Video berdurasi tiga minit dan 31 saat itu memaparkan seorang lelaki memarahi seorang guru yang didakwa mengeluarkan kata kurang enak kepada isterinya.

Individu itu dikatakan saudara kepada pelajar sekolah terbabit yang sudah dikenakan tindakan gantung sekolah.

Lelaki itu mendakwa tidak mendapat surat berhubung perkara itu daripada pihak sekolah. Namun, guru itu memaklumkan sudah memberi surat berkenaan kepada pelajarnya.

Lelaki itu juga mengeluarkan kata kurang sopan kepada guru lelaki itu.

Berita berkaitan

Apahal serang cikgu?

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 1:31 AM