ANTARA warga Indonesia yang ditahan. FOTO Mahzir Mat Isa
Khairul Najib Asarulah Khan
khairul.najib@nstp.com.my


KESERONOKAN 84 warga Indonesia termasuk 29 wanita yang berhibur terbantut apabila mereka ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan keluarga di Puchong, semalam.

Kesemua mereka yang berusia 18 hingga 50 tahun itu dipercayai menjadikan lokasi terbabit sebagai tempat berhibur sambil terjebak dalam penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihaknya menjalankan risikan selama seminggu sebelum serbuan dijalankan 7 malam dan berakhir jam 11.30 malam tadi.

Katanya, dalam serbuan sama, empat warga tempatan turut ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan kesemua mereka yang juga pengunjung itu bekerja sebagai sebagai buruh, kerja kilang dan tukang cuci.

"Mereka mula memasuki pusat hiburan itu pada jam 1 tengah hari dengan bayaran RM280 sejam untuk satu bilik berkenaan," katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serdang, Serdang, semalam.

Ismadi berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas dua paket serbuk kristal disyaki dadah jenis ketamin dan 11 biji pil ekstasi.

"Pihak kami percaya, mereka yang bergerak dalam satu kumpulan akan bertukar-tukar lokasi pusat hiburan untuk pengambilan dadah sambil berhibur secara beramai-ramai.

"Walau bagaimanapun, pemeriksaan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan mereka yang positif ujian saringan air kencing," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 1:23 AM