KEKECOHAN pada program berkenaan. FOTO Ihsan Pembaca
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


KULIAH maghrib di Masjid Ar Rahman Kampung Parit Melana, Durian Tunggal, Alor Gajah, yang dihadiri pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin malam tadi bertukar kecoh selepas dibantah sekumpulan individu.

Majlis ilmu yang dianjurkan Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Durian Tunggal itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab.

Difahamkan, kira- kira 6 petang, terdapat sekumpulan lebih 40 individu sudah berkumpul di perkarangan masjid dan melakukan bantahan sebelum berlaku kekecohan jam 7.50 malam selepas solat Maghrib.

Difahamkan, kekecohan itu dilakukan badan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Pembela Ummah yang meminta agar ceramah itu tidak disampaikan oleh penceramah kontroversi Wan Ji.

Kekecohan yang berlaku kira-kira 30 minit itu akhirnya berjaya dileraikan oleh pihak polis dan meminta kumpulan individu itu untuk keluar dan ceramah bulanan itu diteruskan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Aziz berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sementara itu, Mohd Sofi berkata, ceramah itu sudah dimaklumkan kepada polis dan mendapat kebenaran khas Pejabat Mufti Negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 12:46 AM