Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


BEKALAN air di semua kawasan terjejas di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka pulih sepenuhnya tengah malam esok.

Ia membabitkan kawasan di wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak dan Kuala Langat.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Abdul Raof Ahmad berkata, hasil pemantauan dan bacaan tekanan di sistem agihan mendapati pemulihan bekalan air sudah mencapai tahap 97 peratus setakat ini.

“Berdasarkan jumlah akaun berdaftar, bekalan air di tiga wilayah iaitu Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Lumpur sudah pulih sepenuhnya.

“Sehingga jam 6 petang tadi, status pemulihan di empat wilayah lain masing-masing Petaling, Klang/ Shah Alam mencatatkan 96 peratus, Gombak (97 peratus) dan Kuala Langat (81 peratus).

“Kami mensasarkan pemulihan sepenuhnya bekalan di semua wilayah itu menjelang tengah malam Isnin (esok),” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Abdul Raof, pihaknya amat menghargai kerjasama pelanggan sepanjang tempoh pemulihan itu.

“Bantuan lori tangki juga masih terus digerakkan ke kawasan yang belum pulih sepenuhnya,” katanya.

Pengguna yang ingin memperoleh maklumat lanjut termasuk status terkini boleh merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor dan laman sesawang www.syabas.com.my atau menghubungi Air Selangor di talian 15300.

Harian Metro sebelum ini melaporkan sebanyak 1,133 kawasan membabitkan 1,166,842 pemegang akaun di ibu negara dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan pencemaran bau di Sungai Selangor.

Gangguan itu berikutan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (LRA SSP1, LRA SSP2 dan LRA SSP3) terpaksa dihenti tugas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 8:18 PM