MANGSA dibawa ke HRPB dengan menaiki helikopter untuk mendapatkan rawatan susulan. FOTO IHSAN JBPM
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


TINDAKAN segera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya membawa turun seorang wanita cedera ketika mendaki Gunung Korbu, Ipoh, selepas terkandas di gunung berkenaan sejak tengah malam tadi.

Menurut jurucakap JBPM Perak, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 1.04 pagi dan berdasarkan maklumat awal, seramai 13 pendaki menyertai aktiviti mendaki Gunung Korbu serta seorang pendaki berusia 31 tahun mengalami kecederaan lutut dan berada di Kem Kijang.

“Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Zulkifli Mohamad memohon menggerakkan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan Pasukan Khas Pelbagai Kemahiran (MUST) JBPM bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Pasukan SAR terdiri daripada 11 anggota STORM, BBP Ipoh (7), MUST (2) dan empat anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) selain empat anggota serta dua juruterbang dan tiga anak kapal Unit Udara JBPM segera digerakkan ke lokasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan berkenaan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan kumpulan pertama berada di kaki gunung dan satu lagi di Kem 2 Renjer, Tambun yang melalui lokasi pendakian ke Kem Seroja.

“Pesawat Unit Udara Bomba jenis AW 139 berlepas dari Pengkalan Udara Subang pada 1.28 tengah hari ke Gunung Korbu.

“Mangsa berjaya ditemui pada 4.41 petang dan dibawa keluar menggunakan teknik ‘winching’ yang kemudiannya diterbangkan ke Kem 2 Renjer,” katanya.

Katanya, mangsa tiba dengan helikopter pada 5 petang dan seterusnya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk tindakan dan rawatan lanjut.

Menurutnya, operasi SAR diketuai Ketua Operasi JBPM Perak, Hisham Zakaria.

Turut sama berada di lokasi adalah Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak, Mohamad Yunus Abu; Ketua BBP Meru Raya, Shahrudi Ahmad Halil dan Ketua Operasi Zon 1 Ipoh, Mohd Jamaluddin Mohd Jusoh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 7:06 PM