KALSOM (tengah) bersama ibu, Kamariah Supar dan bapanya, Babak melihat sijil diploma arwah anaknya, Allahyarham Muhammad Akmal Khairi. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


“ARWAH pernah beritahu dia tidak dapat hadir majlis konvokesyen dan mahu saya yang wakilkannya terima diploma ini,” kata Kalsom Babak, 46, ibu kepada Allahyarham Muhammad Akmal Khairi Saiful Bakhri yang juga graduan Politeknik METrO Johor Bahru (PMJB).

Muhammad Akmal Khairi yang sepatutnya bergraduasi hari ini bagaimanapun meninggal dunia pada 23 Julai 2018 akibat kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara Selatan dekat Pagoh, ketika dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru selepas menjaga bapanya yang tidak sihat di Putrajaya.

Ibu tunggal kepada Muhammad Akmal Khairi yang juga anak tunggal itu tidak dapat menahan sebak apabila dipinjamkan jubah graduasi oleh rakan arwah anaknya, selepas menjadi wakil menerima sijil Diploma Pengurusan Logistik dan Rangkaian Bekalan milik anaknya.

Kalsom berkata, ini adalah hadiah yang cukup indah apabila anaknya berjaya menamatkan pengajian selepas dia membesarkan anaknya itu bersama ibu bapanya, Babak Suleiman, 70 dan Kamariah Supar, 67, sejak anaknya berusia empat tahun, selepas berpisah dengan suami.

“Dia anak yang baik, tidak pernah beri masalah pada saya. Saya tidak boleh lupa antara kata-kata akhirnya untuk saya ambil sijil diploma ini kerana dia tidak dapat hadir.

“Oleh kerana itu saya gagahkan juga diri untuk hadir hari ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Kelima PMJB di Dewan Ballroom, Hotel Phoenix, Forest City di Iskandar Puteri, hari ini.

Ditanya mengenai kemalangan menimpa anak tunggalnya itu, Kalsom berkata, anaknya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Ungku Tun Aminah sebelum dilaporkan terbabit dalam kemalangan.

“Mayat anak saya ditemui pada 24 Julai 2018 dan saya diberitahu dia kemalangan pada petang sehari sebelumnya,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 228 graduan PMJB menerima diploma yang disampaikan Ketua Pegawai Operasi Astaka Padu Sdn Bhd, Daeng Hamizah Abd Aziz.

Sementara itu, Pengarah PMJB, Azirin Abdul Aziz berkata, graduan hari ini terdiri daripada pelajar sesi Disember 2017 dan sesi Jun 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 6:49 PM