NORSABRINA menunjukkan laporan polis yang dibuat. (Gambar kanan) Perbualan individu yang menggunakan gambarnya untuk mengutip wang. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


“SAYA minta mana-mana individu yang menerima mesej kononnya saya meminta duit, abaikan kerana gambar saya digunakan pihak lain untuk mengaut keuntungan. Nombor telefon pun bukan saya punya.

“Ini bukan saja satu bentuk penipuan, malah boleh menjejaskan imej dan reputasi saya sebagai wakil rakyat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Kedah Datuk Norsabrina Mohd Noor.

Beliau menjadi mangsa apabila gambar Facebook miliknya digunakan pihak tertentu untuk menghantar mesej kepada kenalannya meminta sejumlah wang kononnya terdesak untuk membuat pembayaran kepada orang lain.

Katanya, dia menyedari perkara itu apabila dimaklumkan seorang rakan yang menerima kiriman WhatsApp daripada nombor yang menggunakan gambarnya dua hari lalu meminta RM950.

“Saya terkejut kerana saya tidak menghantar mesej berkenaan. Nombor itu juga bukan nombor telefon yang saya gunakan. Saya tidak tahu berapa ramai lagi yang menerima mesej yang sama.

“Gambar yang digunakan memang gambar saya. Itu akan menimbulkan kekeliruan apatah lagi saya ada ramai kenalan terutama di kawasan saya sendiri,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Bandar Baharu, hari ini.

Norsabrina berkata, beliau berharap tidak ada orang yang menjadi mangsa kegiatan seperti itu kerana ia membabitkan sejumlah wang tunai selain menggunakan nombor akaun yang sah.

Katanya, pihak tidak bertanggungjawab itu menjadikan kedudukannya sebagai wakil rakyat untuk mengaut untung dengan memperdaya mereka yang percaya mesej itu datang darinya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Zulhanis Zainol juga menjadi mangsa kegiatan serupa baru-baru ini.

Katanya, dia menerima kiriman tangkap layar daripada rakan yang menunjukkan mesej meminta wang kononnya dalam kesempitan wang.

Bagaimanapun, sebagai langkah segera, dia memuat naik kejadian itu di Facebook bagi mengelakkan ramai yang menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab itu.

“Ia sedikit sebanyak menjejaskan usaha saya untuk buat kerja ummah kerana ia boleh menjadi fitnah apatah lagi MAPIM banyak perancangan untuk program dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, pihaknya menerima lebih 20 aduan isu ‘doxing’ dalam tempoh tiga bulan lalu.

Katanya, modus operandi digunakan adalah menggunakan gambar milik individu tertentu untuk mendapatkan wang secara mudah atau membuat fitnah kepada orang lain.

“Baru-baru ini kita ada kes mangsa kerugian RM15,000 kerana memasukkan wang ke dalam akaun milik individu tidak dikenali kerana percaya itu adalah rakannya. Bila diperiksa, rakannya itu tidak menghantar mesej meminta wang, sebaliknya hanya gambar digunakan untuk menyamar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 4:31 PM