Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my


STADIUM di Kompleks Sukan dan Rekreasi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dekat Jalan Betek, Bukit Mertajam akan dinaiktaraf bagi membolehkan penduduk negeri serta sekitarnya terus membudayakan amalan gaya hidup sihat dengan bersukan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa terlalu ramai yang menggunakan stadium di kompleks itu untuk beriadah dan bersukan bahkan bukan membabitkan penduduk kawasan berkenaan semata-mata.

Berikutan itu, infrastruktur stadium dan balapan di sini perlu dinaiktaraf supaya rakyat dapat menikmati suasana bersukan yang lebih selesa.

“Pihak kementerian mendapat maklumat bahawa penggunaan stadium di sini amat memberangsangkan dan memerlukan ia dinaiktaraf.

“Justeru, sebaik sahaja mendapat permohonan yang lebih lengkap, kita akan luluskan dan realisasikannya dalam tempoh masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jelajah Fit Malaysia Zon Utara di sini, hari ini.

Lebih 20,000 peserta dari Pulau Pinang serta sekitar negeri-negeri utara mengambil bahagian dalam setiap acara yang diadakan dekat sini.

Ditanya berhubung kos bagi kerja menaiktaraf stadium berkenaan, Syed Saddiq berkata, ia akan dimaklumkan selepas kerja teknikal diadakan.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, jelajah Fit Malaysia yang diadakan di negeri ini mencatatkan jumlah penyertaan tertinggi berbanding di Selangor dan Terengganu.

“Saya berbangga dan gembira melihat semangat kesukanan yang ditunjukkan rakyat berbilang kaum di negeri ini serta sekitarnya bahkan ada peserta berusia lebih 80 tahun masih lagi kuat untuk datang menunjukkan sokongan.

“Pihak kementerian berharap rakyat akan terus membudayakan amalan bersukan ini untuk edisi jelajah akan datang yang akan kita adakan di Johor dan Sabah tidak lama lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 3:55 PM
SYED Saddiq (dua kiri) merasmikan Fit Malaysia negeri Pulau Pinang. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal