NELAYAN warga Indonesia ditahan bersama hasil laut. FOTO IHSAN PPM
Nur Lela Zulkipli
Nurlela@hmetro.com.my


EMPAT nelayan warga Indonesia yang asyik menjala ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) ketika Ops Pintasan di perairan laut Kuala Selangor, semalam.

Semua warga asing itu ditahan kira-kira jam 10 pagi di atas bot pukat tunda bersama hasil tangkapan ikan dan udang seberat 100 kilogram (kg).

Komander PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan.

“Pemeriksaan mendapati, terdapat empat warga Indonesia berusia lingkungan 37 hingga 43 tahun yang mana salah seorang daripadanya adalah tekong, manakala tiga lagi awak-awak.

“Siasatan turut menemui peralatan menjala dan mereka melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya di Kuala Selangor, hari ini.

Menurut Rosman, antara kesalahan dilakukan adalah tiada kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia untuk menggunakan pekerja dan awak-awak asing.

“Selain itu, kesalahan dikesan adalah menggunakan saiz mata pukat bahagian keroncang kurang daripada 38 milimeter (mm) ukuran tegang.

“Keempat-empat warga asing ini juga gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri sah,” katanya.

Katanya, semua warga Indonesia turut disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Semua peralatan seperti pukat, tali tunda, papan tunda, hasil tangkapan dan bot dirampas untuk siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 3:39 PM