KHALID Abdul Samad. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


WUJUD kumpulan tertentu termasuk pembabitan samseng dikesan sengaja menjadikan beberapa isu membabitkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai ‘modal’ untuk kepentingan diri sendiri selain menjejaskan usaha kerajaan mewujudkan suasana harmoni di ibu negara.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata, kumpulan terbabit antara yang mempunyai kepentingan dan mendapat manfaat daripada pentadbiran terdahulu, sengaja mencetuskan isu untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak berupaya menjaga warga kota.

Katanya, sepanjang lebih setahun menerajui Kementerian itu, beliau mendapati ada dua kategori kumpulan iaitu orang politik dan pemikir yang mendakwa mereka mempunyai pandangan yang perlu dilaksanakan kementerian, namun ia hanya pendapat peribadi tanpa mengetahui dasar sedia ada.

“Macam isu dewan orang ramai, mereka cetuskan isu kata DBKL tak adil, tapi sebenarnya mereka ada pendapatan di situ. Sewakan dewan untuk buat kenduri dan sebagainya. Katakan dia ambil untung RM1,000, ada 10 dewan, dah RM10,000, sewa tapak saja. Dia buat dewan atas tanah kerajaan, dia dapat peruntukan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, lepas itu dia kata dewan dia.

“Benda-benda begini yang kita akan hadapi kecaman bila nak buat perubahan, ada juga yang bijak pandai. Mereka nak sesuatu dari segi pembangunan bandar raya Kuala Lumpur, naik ikut citarasa dia. Ada benda yang kita tak boleh elak kerana sudah dipersetujui dan ada perjanjian daripada dulu, sebelum kita ambil alih, kalau kita langgar, ada implikasinya,” katanya kepada Harian Metro.

Khalid berkata, pihaknya perlu menghormati perjanjian yang sudah ditandatangani sebelum ini dan ia bukannya dasar peribadi beliau sebagai menteri, sebaliknya dasar peribadi kerajaan yang mengambil ketetapan tertentu berhubung sesuatu isu.

“Ini yang mereka tak boleh terima dan suruh tukar menteri. Kalau tukar yang lain pun, dia akan terikat dengan dasar kerajaan juga. Kita tak boleh bayar semua pampasan dan kita kena lalui pada sama transisi kerana kita mewarisi masalah yang lama. Kita harap selepas ini kita dapat tangani dengan lebih baik.

“Ada samseng di Bukit Bintang yang sebelum ini bersama dengan kerajaan dulu, bina bangunan atas tanah kerajaan, macam mana kita nak ambil balik, samalah juga dengan dewan ini. Kalau mereka mahu, rundinglah dengan DBKL, kita ada prosedur operasi standard (SOP), ada kadar tertentu yang selaras, kita nak pengurusan yang kita tetapkan,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Khalid berkata, satu pertemuan akan diadakan bersama pemilik dan waris tanah di Kampung Baru September ini bagi mencari jalan penyelesaian berhubung pemilikan isu pengambilalihan yang tergantung sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, ia akan dikendalikanPerbadanan Kampung Baru (PKB), untuk mengambil kira pandangan termasuk persetujuan penduduk, pampasan dan perkara berbangkit lain.

“Kebanyakan setuju nak jual. Ada seorang dua yang sentimental dan tak nak lepas. Tapi itulah, satu lot tanah ada sampai 100 nama, jadi kita kena tentukan kaedahnya bagaimana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 2:33 PM