YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan simpati dengan kejadian kebakaran yang berlaku di perkampungan Sungai Isap 2, Kuantan, hari ini.

Baginda turut mengucapkan takziah buat keluarga mangsa yang terbabit dalam kejadian itu.

“Takziah buat keluarga mangsa kebakaran. Al-Fatihah semoga roh dicucuri rahmat dan berada bersama orang solihin dan mutaqin,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp yang disampaikan menerusi kakitangan Istana Abdulaziz, Abdul Rahim Othman, hari ini.

Al-Sultan Abdullah juga berharap pihak berkuasa dapat membantu membina semula rumah mangsa yang musnah dalam kebakaran itu.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi itu, tiga beranak rentung sementara empat yang lain cedera dalam kebakaran empat rumah.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali Sharifah Azlina Syed Kassim, 37, dan dua anaknya Muhammad Haikal Hakimi Hairol, 11, dan Muhamamd Adam Daniel, 7.

Mereka yang cedera pula adalah Norazilah Abdullah, 23, suaminya, Syed Azman Syed Kassim, 25, adik Norazilah, Nor Syawalina, 19, serta suami kepada Sharifah Azlina, Hairol Khalid, 38.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul berkata, kejadian dipercayai berpunca dari bahagian tengah rumah dan punca sebenar sedang disiasat Jabatan Forensik JBPM Pahang.

Berita berkaitan

'Mak kejut, angkat saya lari'

[UPDATE] Identiti 3 beranak dikenal pasti

Tiga beranak maut

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 2:18 PM