APMM memadam kebakaran bot nelayan di perairan Pulau Sembilan. FOTO ihsan APMM
Noor Hidayah Tanzizi

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan 17 kru bot nelayan selepas bot milik warga tempatan itu terbakar di perairan Pulau Sembilan, kira-kira 18.5 kilometer selatan Pulau Pangkor, malam tadi.

Dalam kejadian 11.40 malam itu, semua nelayan warga Myanmar berusia antara 20 hingga 50 tahun itu selamat dan hanya seorang dilaporkan cedera.

Pengarah APMM Perak, Kapten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, pihaknya menggerakkan Kapal Maritim (KM) Marlin dan Bot Petir 80 sebaik menerima maklumat berhubung kejadian itu untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, KM Marlin terus menjalankan kerja memadam api menggunakan meriam air kapal manakala Bot Petir 80 pula menjalankan usaha mencari mangsa di kawasan sekitar.

“Semua 17 mangsa dikatakan terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan diri dan diselamatkan bot nelayan yang berada berhampiran di kawasan itu.

“Kebakaran itu dikawal dan dipadamkan pada 1.15 pagi tadi dan 16 mangsa kemudian dipindahkan ke KM Marlin untuk dibawa ke jeti berhampiran.

“Seorang mangsa yang cedera ringan dibawa oleh Bot Petir 80 ke Jeti Perikanan Kampung Acheh bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.


APMM menyelamatkan 17 kru bot nelayan di perairan Pulau Sembilan. FOTO ihsan APMM

Wan Mat berkata, operasi itu turut membabitkan beberapa bot nelayan yang berada di kawasan berhampiran yang membantu memadamkan kebakaran bot berkenaan.

“Operasi SAR ditamatkan 4.30 pagi tadi selepas semua mangsa selamat tiba di jeti Pasukan Polis Marin Kampung Acheh dan dibawa ke pejabat Maritim Negeri Perak untuk keterangan lanjut,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian di laut boleh menyalurkan maklumat kepada APMM Perak di talian 05-6838737 atau datang ke Ibu Pejabat APMM Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 12:25 PM