PENGUNJUNG melihat replika rumah di gerai pameran Handal Group pada pameran hartanah MyRumah 2019 di Pusat Beli-Belah Aeon Bandaraya Melaka. FOTO Khairunisah Lokman
Fairuz Zaidan dan Rizanizam Abdul Hamid
am@hmetro.com.my

SESUAI konsep 4P yang diketengahkan dalam pameran hartanah MyRumah iaitu menggabungkan elemen pameran (exhibition), pengalaman (experience), pendidikan (education) dan persekitaran (environment), pengunjung pameran di AEON Bandaraya Melaka di sini, berkongsi keterujaan sama penganjuran berkenaan.

Pengunjung, Nur Rahimah Abdul Razak, 33, berkata, dia teruja mendapat pelbagai maklumat menerusi pameran MyRumah di Melaka yang menghimpunkan pelbagai pemaju terkemuka serta barisan penceramah yang memberikan pelbagai tip dan ilmu berkaitan hartanah.

“Saya tidak tahu ada pameran hartanah MyRumah di Melaka. Kebetulan datang beli-belah, saya terpanggil turut serta melihat pameran.

“Pameran MyRumah peluang terbaik pembeli mendapatkan pelbagai maklumat dan informasi sebelum membeli rumah. Untungnya, selain pemaju, ada juga agensi kerajaan serta perumahan mampu milik untuk pelbagai lapisan masyarakat,” katanya yang menetap di Masjid Tanah, Melaka.

Sementara itu, jurutera mekanikal, Khairul Azwan Ab Halim, 31, berkata, dia tidak menyangka kunjungan secara kebetulan ke pameran berkenaan menarik minatnya berada lebih 20 minit mendengar pelbagai maklumat berguna.

“Saya tertarik dengan pameran hartanah MyRumah kerana ia berkonsep mendidik pembeli dan bukan tamak jualan atau keuntungan semata-mata.

“Selain konsep 4P, pameran hartanah lain kebanyakannya fokus kepada jualan rumah semata-mata dan tidak memberikan pendidikan menyeluruh,” katanya.


GELAGAT pengunjung yang melawat pameran hartanah MyRumah 2019. FOTO Khairunisah Lokman

Seorang lagi pengunjung, Rohani Arbain, 28, berkata, pameran itu sesuai bagi semua peringkat umur terutama belia yang mahu merancang kewangan selain membeli rumah pertama atau kedua.

“Saya lihat ada penceramah hartanah yang menerangkan bagaimana seseorang itu boleh mendapat pelbagai pelepasan cukai yang selama ini tidak ramai diketahui.

“Saya sempat buat catatan dan ambil risalah daripada syarikat pemaju untuk rujukan membeli rumah kedua kelak,” katanya.

Pameran hartanah MyRumah 2019 bermula kelmarin hingga hari ini di AEON Bandaraya Melaka mulai jam 10 pagi hingga jam 10 malam.

Ia mempamerkan lebih 12 projek perumahan di sekitar Melaka dan Johor, merangkumi 2,653 unit dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM681 juta.

Siri kedua MyRumah 2019 di Melaka menyasarkan pembeli dan pelabur hartanah sekitar wilayah selatan dengan menawarkan hartanah pada harga serendah RM180,000 sehingga RM679,000.

Pameran itu turut menampilkan tujuh pemaju hartanah utama iaitu Bukit Pelali (Astaka Padu Sdn Bhd), Faithview Group Development Sdn Bhd, Handal Group Jabatan Perumahan Negara (JPN), Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Scientex Height Sdn Bhd dan SPNB Aspirasi (SPNB). Ia turut disertai Takaful Ikhlas Berhad.

Malah, pembeli rumah pada pameran berkenaan berpeluang memenangi kereta Nissan Almera.

Pameran itu juga menampilkan barisan penceramah hartanah terkemuka tanah air yang memberikan tip membeli kediaman dan pelaburan hartanah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 6:31 AM