Dr Mahathir menyampaikan anugerah kepada pasukan St John Ambulans Malaysia yang menjuarai Pertandingan Pertolongan Cemas Belia Rantau Asia Pasifik di Program AED SJAM Kebangsaan di Klang, malam ini. Foto Sairien Nafis
Nur Lela Zulkipli
Nurlela@hmetro.com.my


RAKYAT negara ini digalakkan mempelajari bantuan pertolongan cemas yang disifatkan sebagai bantuan perubatan paling penting sebelum menerima rawatan lanjut pihak hospital.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, peranan pertolongan cemas adalah sangat penting dalam usaha membantu mereka yang tercedera.

“Bantuan pertolongan cemas adalah bantuan kecemasan penting sebelum bantuan perubatan tiba.

“Dalam banyak keadaan, ia juga boleh memberi makna kepada kehidupan dan kematian,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis perasmian Program Defibrilator Luaran Automatik (AED) St John Ambulans Malaysia (SJAM) Kebangsaan di Klang, malam ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Pemerintah Agung SJAM Datuk Lai See Ming.

Program itu diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-111 Penubuhan SJAM adalah bagi mengutip dana untuk membeli sebanyak 100 AED kepada semua cawangan organisasi itu di seluruh negara.

Difahamkan sehingga kini, sebanyak 50 alat berkenaan sudah ditaja termasuk 25 unit ditaja oleh Sunway Group.

Dr Mahathir yang juga Presiden Kebangsaan SJAM berkata, sehingga kini anggota SJAM berjaya membuktikan sumbangannya.

“Anggota SJAM terutama golongan belia menjadikan Malaysia sebagai negara yang lengkap melalui pertolongan cemas dan kemahiran penjagaan jururawat.

“Melalui usaha itu, golongan belia bukan saja dilatih dengan kemahiran menyelamatkan nyawa, malah kepimpinan dan kerja berpasukan yang sangat penting dalam pembangunan bangsa,” katanya.

Pada program sama, Dr Mahathir turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Pertolongan Cemas dan Perawatan Malaysia-Singapura Kali Ke-32 dan Pertandingan Pertolongan Cemas Belia Rantau Asia Pasifik kali pertama yang diadakan pagi tadi.

Pasukan Malaysia memenangi tiga dari empat kategori yang dipertandingkan dalam Pertandingan Pertolongan Cemas dan Perawatan Malaysia-Singapura serta muncul juara bagi Pertolongan Cemas Belia Rantau Asia Pasifik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 12:05 AM