Wartawan MPB bergambar bersama sijil kemenangan masing-masing selepas mengungguli MAKK 2018 anjuran KEMUDI. Foto NSTP
Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my


DUA laporan disiarkan Harian Metro dipilih pemenang kategori utama Malam Anugerah Kewartawanan Kelantan (MAKK) 2018 anjuran Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) di Kota Bharu, malam ini.

Laporan wartawan Nor Fazlina Abdul Rahim bersama Syaherah Mustafa dan Syarifah Mahsinah Abdullah membolehkan masing-masing meraih tempat pertama bagi kategori Laporan Khas dan Berita Akhbar Terbaik.

Masing-masing mempertaruhkan laporan bertajuk Cinta Suami Permit dan Gembira Bertaut Duka yang disiarkan Harian Metro pada tahun lalu.

Di MAKK itu, Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) turut membolot hampir kesemua kategori yang dipertandingkan.

Jurufoto sambilan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Nik Abdullah Nik Omar menang kategori Kewartawanan Foto Cemerlang dengan tajuk Redah Hujan Cabut Ubi.

Wartawan TV3 Nik Mohd Zulhafiz Zulkifli dan jurukamera Ahmad Faris Abdul Halim muncul pemenang kategori Laporan Khas TV Cemerlang dan Anugerah Kewartawanan Gemilang KEMUDI dengan tajuk Pengemis Kota.

Selain itu, seorang lagi wartawan TV3 Shahnun Hanif Suhaimi bersama jurukamera Nik Zaidi Nik Abu Bakar pula juara bagi kategori Laporan TV Cemerlang dengan tajuk Suspek Jenayah Sempadan.

Majlis perasmian MAKK itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri Wan Roslan Wan Hamat.

Sementara itu, wartawan sambilan Berita Harian Nor Amalina Alias meraih tempat kedua bagi kategori Laporan Khas Akhbar Terbaik dengan laporan bertajuk Tukang Masak Dedah Rahsia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 11:28 PM