Mohamed Azmin dan Zuraida tiada di Program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR Sesi 2018/2021 malam ini. Foto NSTP
Raja Noraina Raja Rahim dan Hasbi Sidek
am@hmetro.com.my


WALAUPUN dijadualkan memberikan ucapan dalam sesi ucaptama Program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR Sesi 2018/2021 di Port Dickson malam ini, tetapi kelibat Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak kelihatan.

Ia menguatkan lagi spekulasi mengenai wujudnya pertelingkahan antara beliau dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hubungan mereka itu dilihat `panas’ susulan kenyataan Anwar yang mencadangkan agar Mohamed Azmin bercuti jika terbukti terbabit dalam video intim yang tular baru-baru ini dan tidak perlu bercuti sekiranya video itu tidak sahih.

Azmin pula memberi reaksi balas dengan meminta Anwar muhasabah dan cermin diri.

Sehingga 9 malam ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu tidak kelihatan di program berkenaan walaupun sepatutnya hadir pada 8.30 malam.

Turut tidak hadir ialah Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin dan Ali Biju walaupun mereka dijadual memberikan ucapan pada malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 9:58 PM